Penerangan ringkas ujian Penulisan Latihan Am
Tempoh: 60 minit
Ujian Penulisan Latihan Am mengandungi dua tugasan yang berdasarkan topik pengetahuan am.
Tugasan 1
Anda akan diberikan satu situasi dan dikehendaki untuk menulis surat yang meminta maklumat atau menjelaskan keadaan. Gaya penulisan surat itu mungkin berbentuk peribadi, separa formal atau formal.
Tugasan 2
Anda akan diminta untuk menulis karangan sebagai respons terhadap sesuatu pendapat, hujah atau masalah. Gaya penulisan karangan anda boleh berbentuk lebih peribadi berbanding tugasan ujian Penulisan Akademik. Anda akan menyokong hujah anda dengan contoh yang relevan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman anda sendiri.
Tugasan 1: Menulis surat pendek untuk tujuan tertentu
Dalam Tugasan 1 ujian Penulisan Latihan Am, anda diminta untuk menulis surat yang memerlukan anda menunjukkan kemampuan berkomunikasi menggunakan format menulis surat dalam bahasa Inggeris.
Anda akan diberikan situasi harian yang biasa seperti menulis untuk meminta maaf kerana tidak menghadiri majlis rakan, atau mengadu kepada sesebuah syarikat tentang layanan buruk, menulis untuk mencadangkan tempat percutian kepada rakan, atau menulis untuk memohon kerja baharu.
Selain daripada situasi, anda juga akan diberikan tiga poin yang merumuskan maklumat yang anda harus sertakan dalam surat anda. Misalnya, anda mungkin diminta menerangkan butiran, memberi alasan, menyatakan jika anda suka dan tidak, atau memberi cadangan atau saranan.
Anda perlu menggunakan nada yang betul dalam surat anda. Nada ialah cara anda berkomunikasi dengan orang yang menunjukkan jenis hubungan anda dengan mereka. Dalam surat, nada yang anda gunakan dapat dilihat dengan jelas melalui ucapan pembuka surat dan penutup yang tepat dan juga dapat dilihat melalui pilihan kata atau ungkapan anda.
Surat biasanya ditulis sama ada dengan nada formal atau tidak formal. Secara amnya, jika surat itu ditujukan kepada rakan, orang yang anda kenal atau keluarga, dan ditulis atas tujuan positif, nada surat adalah tidak formal. Surat kepada orang lain dan surat untuk menyampaikan aduan atau mesej negatif, hendaklah lebih formal.
Tugasan 2: Menulis karangan
Dalam Tugasan 2 ujian Penulisan Latihan Am, anda diminta menulis sebuah karangan sebagai respons/jawapan kepada sesuatu pendapat, hujah atau masalah. Topik yang diberi merupakan topik pengetahuan am seperti adakah persekolahan di rumah lebih baik bagi anak-anak, adakah had umur pengambilan arak patut dinaikkan, siapa yang bertanggungjawab untuk menjaga orang tua atau cara-cara hubungan keluarga dapat dieratkan.
Arahan tugasan memberi anda maklumat mengenai soalan dan menerangkan cara untuk anda membincangkan topik tersebut dalam karangan anda. Anda mungkin diminta untuk memberikan maklumat berdasarkan fakta, menggariskan dan menyampaikan penyelesaian, mewajarkan pendapat atau menilai bukti dan idea. Adalah penting untuk anda melengkapkan tugas dengan teliti menggunakan idea dan contoh yang relevan bagi menyokong hujah anda. Idea anda harus disusun dengan jelas, menggunakan perenggan untuk setiap idea. Anda hendaklah menulis sekurang-kurangnya 250 patah perkataan.
Anda dinilai berdasarkan kemampuan anda untuk mengikut format penulisan karangan Bahasa Inggeris, menyusun dan menghubungkan maklumat dengan cara yang sesuai, menggunakan bahasa dengan tepat dan sesuai bagi menyampaikan idea serta pendapat anda.