The official IELTS by IDP app is here! Download it today.

Close

Paparan ringkas tentang ujian Membaca IELTS Akademik

Ujian Membaca Akademik mengandungi tiga teks panjang yang termasuk teks berbentuk deskriptif dan berdasarkan fakta, diskursif dan analitis. Teks yang diberi adalah sahih dan diambil daripada buku, jurnal, majalah dan surat khabar. Ia dipilih untuk audiens bukan pakar tetapi sesuai untuk mereka yang akan menghadiri kursus di universiti atau ingin memperoleh pendaftaran profesional. 

Melengkapkan label gambar rajah

Dalam jenis soalan ini, anda dikehendaki melengkapkan label pada gambar rajah, yang berkaitan dengan keterangan yang terdapat dalam teks. Arahan akan diberikan untuk menjelaskan bilangan perkataan atau nombor yang harus anda gunakan dalam jawapan anda, misalnya ‘NO MORE THAN THREE WORDS AND/OR A NUMBER from the passage’, ‘ONE WORD ONLY’ atau ‘NO MORE THAN TWO WORDS’. Sekiranya respons/jawapan anda melebihi bilangan perkataan yang diminta, anda akan kehilangan markah. Nombor boleh ditulis dengan menggunakan angka atau perkataan. Perkataan bersempang dihitung sebagai satu perkataan. Jawapan tidak semestinya diberi mengikut urutan dalam petikan. Walau bagaimanapun, jawapan biasanya diambil daripada satu bahagian dan bukannya daripada keseluruhan teks. 

Gambar rajah mungkin menunjukkan suatu jenis mesin, atau bahagian-bahagian bangunan atau unsur lain yang dapat ditunjukkan secara visual. Jenis tugasan ini sering digunakan dengan teks yang menerangkan proses atau dengan teks deskriptif. 

Soalan melengkapkan label gambar rajah menilai kemampuan anda untuk memahami penerangan yang terperinci dan mengaitkannya dengan maklumat yang dipaparkan dalam bentuk gambar rajah. 

Mengenal pasti pandangan atau dakwaan penulis

Dalam jenis soalan ini, anda harus mengenal pasti pandangan atau dakwaan penulis. Anda akan diberikan beberapa pernyataan dan diminta menjawab: ‘Do the following statements agree with the views/claims of the writer?’. Anda kemudian akan memilih ‘Yes’, ‘No’ atau ‘Not given’. 

Penting untuk memahami perbezaan antara 'No' dan 'Not given’. 'No' bermaksud pandangan atau dakwaan penulis, secara jelas, tidak selaras dengan pernyataan, iaitu penulis menyatakan pandangan atau membuat dakwaan yang bertentangan dengan pernyataan yang diberikan dalam soalan; 'Not given' bermaksud pandangan atau dakwaan itu tidak dapat disahkan dan tidak juga bertentangan. 

Apabila menjawab, berhati-hati supaya tidak terpengaruh dengan pendapat peribadi anda berdasarkan pengetahuan anda sendiri mengenai bidang topik tersebut. 

Jenis soalan ini menilai kemampuan anda untuk mengenal pasti pendapat atau idea. Oleh itu, ia sering digunakan untuk teks diskursif atau teks berbentuk hujahan. 

Mengenal pasti maklumat

Apabila anda dikehendaki mengenal pasti maklumat, anda akan diberi beberapa pernyataan dan diminta menjawab: “Do the following statements agree with the information in the text?”. Untuk menjawab soalan ini, anda hendaklah menulis “True”, “False” atau “Not given” dalam kotak jawapan. 

Penting untuk memahami perbezaan antara “False” dan “Not given”. “False” bermaksud maklumat dalam petikan itu bertentangan dengan pernyataan dalam soalan. “Not given” bermaksud pernyataan itu tidak disahkan dan tidak juga bertentangan dengan maklumat dalam petikan.

Memadankan ciri

Anda dikehendaki memadankan satu set pernyataan atau maklumat dengan satu senarai pilihan. Pilihan dipaparkan sebagai satu kumpulan ciri daripada teks dan setiap pilihan ditanda dengan huruf. Sebagai contoh, anda mungkin diminta untuk memadankan penemuan penyelidikan yang berbeza dengan senarai penyelidik, atau memadankan ciri-ciri dengan kumpulan umur, memadankan peristiwa dengan tempoh sejarah, dan lain-lain. Ada kemungkinan bahawa terdapat pilihan yang tidak akan digunakan dan ada juga yang menggunakan satu pilihan berulang kali. Arahan akan diberikan untuk memaklumkan jika anda boleh menggunakan pilihan lebih daripada sekali.  

Soalan memadankan ciri akan menilai kemampuan anda untuk mengenali hubungan dan kaitan antara fakta dalam teks serta kemampuan anda untuk mengenal pasti pendapat dan teori. Ia mungkin digunakan dengan maklumat berdasarkan fakta atau teks diskursif berdasarkan pendapat. Anda perlu mampu membaca pantas dan mengimbas teks untuk mencari maklumat yang diperlukan dan kemudian membaca dengan terperinci supaya dapat memadankan ciri yang betul. 

Memadankan tajuk

Tajuk merujuk kepada idea utama perenggan atau bahagian teks. Dalam jenis soalan memadankan tajuk, anda diberi satu senarai tajuk dan kemudian diminta untuk memadankan tajuk dengan perenggan atau bahagian yang betul. Lazimnya, bilangan tajuk melebihi bilangan perenggan atau bahagian. Oleh itu, sesetengah tajuk tidak akan digunakan. Ada juga kemungkinan bahawa beberapa perenggan atau bahagian teks tidak termasuk dalam tugasan. Jenis soalan ini digunakan dengan teks yang mengandungi perenggan atau bahagian dengan tema yang jelas.

Soalan memadankan tajuk menguji kemampuan anda untuk mengenal pasti idea atau tema utama dalam perenggan atau bahagian teks, dan untuk membezakan idea utama daripada idea yang menyokong.

Memadankan maklumat

Dalam jenis soalan memadankan maklumat ini, anda dikehendaki mencari maklumat khusus dalam perenggan atau bahagian teks yang berhuruf, dan kemudian anda harus memilih huruf perenggan atau bahagian yang betul.  

Anda mungkin diminta untuk mencari:  

  • butiran khusus 

  • satu contoh 

  • satu alasan 

  • satu huraian  

  • satu perbandingan  

  • satu ringkasan  

  • satu penjelasan.  

Anda tidak semestinya perlu mencari maklumat dalam setiap perenggan atau bahagian teks. Namun, mungkin terdapat lebih daripada satu maklumat yang perlu anda cari dalam perenggan atau bahagian tertentu. Dalam kes ini, anda akan diberitahu bahawa anda boleh menggunakan huruf yang sama lebih daripada sekali.  

Jenis soalan memadankan maklumat ini boleh digunakan dengan sebarang jenis teks kerana ia menguji pelbagai kemahiran membaca, termasuk mencari butiran dan mengecam ringkasan atau definisi.  

Memadankan maklumat menilai kemampuan anda mengimbas teks untuk maklumat tertentu.

Memadankan pengakhiran ayat

Apabila anda dikehendaki memadankan pengakhiran ayat, anda diberi permulaan ayat berdasarkan teks ujian membaca dan anda diminta memilih cara terbaik untuk melengkapkannya daripada satu senarai pilihan. Bilangan pilihan yang diberi adalah lebih banyak daripada bilangan soalan. Kemudian, anda harus memilih pilihan yang betul untuk melengkapkan ayat. Soalan disusun dalam urutan yang sama dengan maklumat dalam petikan: bermakna jawapan untuk soalan pertama dalam kumpulan ini akan dapat ditemui sebelum jawapan untuk soalan kedua dan seterusnya.   

Soalan memadankan pengakhiran ayat menilai kemampuan anda memahami idea utama dalam ayat. 

Soalan pelbagai pilihan

Terdapat tiga jenis soalan pelbagai pilihan: 

  • Pilih jawapan terbaik daripada empat pilihan (A, B, C atau D) 

  • Pilih dua jawapan terbaik daripada lima pilihan (A, B, C, D atau E) 

  • Pilih tiga jawapan terbaik daripada tujuh pilihan (A, B, C, D, E, F atau G) 

Setiap soalan pelbagai pilihan mungkin melibatkan tugasan melengkapkan ayat, iaitu anda diberi permulaan ayat dan kemudian anda harus memilih cara terbaik untuk melengkapkannya daripada senarai pilihan, atau anda mungkin dikehendaki menjawab soalan lengkap dengan memilih pilihan terbaik sebagai jawapannya. 

Soalan disusun dalam urutan yang sama dengan maklumat yang terdapat dalam teks ujian membaca. Jadi, jawapan untuk soalan pelbagai pilihan pertama akan ditemui dalam teks sebelum jawapan kepada soalan pelbagai pilihan kedua dan seterusnya.

Melengkapkan ayat

Dalam soalan melengkapkan ayat, anda akan melengkapkan ayat yang diambil daripada teks ujian membaca. Arahan akan diberi untuk menjelaskan bilangan perkataan atau nombor yang harus anda gunakan dalam jawapan anda, misalnya ‘NO MORE THAN THREE WORDS AND/OR A NUMBER from the passage’, ‘ONE WORD ONLY’ atau ‘NO MORE THAN TWO WORDS’. Sekiranya respons anda melebihi bilangan perkataan yang dinyatakan dalam arahan, anda akan kehilangan markah. Nombor boleh ditulis dengan menggunakan angka atau perkataan. Perkataan bersempang dihitung sebagai satu perkataan. Soalan disusun dalam urutan yang sama dengan maklumat dalam petikan: bermakna jawapan untuk soalan pertama dalam kumpulan ini akan dapat ditemui sebelum jawapan untuk soalan kedua dan seterusnya.  

Soalan melengkapkan ayat menilai kemampuan anda untuk mencari maklumat terperinci atau khusus. 

Soalan berjawapan pendek

Dalam jenis soalan ini, anda dikehendaki menjawab soalan menggunakan jawapan pendek. Anda akan menjawab soalan yang biasanya berkaitan dengan maklumat berdasarkan fakta tentang butiran dalam teks.  

Anda mesti menulis jawapan anda menggunakan perkataan atau nombor daripada teks. Arahan akan diberikan untuk menjelaskan bilangan perkataan atau nombor yang harus anda gunakan dalam jawapan anda, misalnya ‘NO MORE THAN THREE WORDS AND/OR A NUMBER from the passage’, ‘ONE WORD ONLY’ atau ‘NO MORE THAN TWO WORDS’. Sekiranya respons/jawapan anda melebihi bilangan perkataan yang diminta, anda akan kehilangan markah. 

Nombor boleh ditulis dengan menggunakan angka atau perkataan. Perkataan bersempang dihitung sebagai satu perkataan. Soalan disusun mengikut urutan yang sama seperti maklumat dalam teks. 

Soalan berjawapan pendek menilai kemampuan anda untuk mencari dan memahami maklumat yang tepat dalam teks. 

Melengkapkan ringkasan, nota, jadual, carta aliran

Dalam soalan melengkapkan ringkasan ini, anda akan diberikan ringkasan bahagian teks dan diminta untuk melengkapkannya dengan maklumat yang diambil daripada teks. Lazimnya, ringkasan tersebut hanyalah untuk satu bahagian petikan dan bukannya keseluruhan teks.  

Maklumat mungkin diberikan dalam bentuk:  

  • beberapa ayat teks yang berkait (dirujuk sebagai ringkasan) 

  • beberapa nota (dirujuk sebagai nota) 

  • jadual yang tidak lengkap iaitu terdapat petak kosong atau separa kosong (dirujuk sebagai jadual) 

  • rangkaian kotak atau langkah yang dihubungkan oleh anak panah untuk menunjukkan urutan peristiwa, dengan beberapa kotak atau langkah kosong atau separa kosong (dirujuk sebagai carta aliran). 

Susunan jawapan tidak semestinya sama dengan urutan dalam teks. Walau bagaimanapun, jawapan biasanya dapat dicari dalam satu bahagian dan bukannya dalam keseluruhan teks. 

Jenis tugasan ini mempunyai dua variasi. Anda mungkin diminta untuk: 

  1. memilih perkataan daripada teks

  2. memilih daripada senarai jawapan. 

Jika perkataan harus dipilih daripada petikan, arahan akan diberikan untuk menjelaskan bilangan perkataan atau nombor yang harus anda gunakan dalam jawapan anda, misalnya ‘NO MORE THAN THREE WORDS AND/OR A NUMBER from the passage’, ‘ONE WORD ONLY’ atau ‘NO MORE THAN TWO WORDS’. Sekiranya respons/jawapan anda melebihi bilangan perkataan yang diminta, anda akan kehilangan markah. 

Nombor boleh ditulis dengan menggunakan angka atau perkataan. Perkataan bersempang dihitung sebagai satu perkataan. Jika senarai jawapan disediakan, jawapan lazimnya terdiri daripada satu perkataan. 

Oleh sebab jenis tugasan ini sering berkait dengan maklumat berdasarkan fakta tepat, ia sering digunakan untuk teks deskriptif. 

Soalan ringkasan menilai kemampuan anda memahami butiran dan/atau idea utama bahagian teks. Dalam variasi yang melibatkan ringkasan atau nota, anda perlu mengetahui jenis-jenis perkataan yang sesuai dipilih sebagai jawapan (misalnya, sama ada kata nama diperlukan, atau kata kerja, dan sebagainya).